Anda Pelawat Ke-...

web counter

Friday, August 2, 2013

Jahil




Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Semakin menuntut ilmu Allah, semakin terasa banyak lagi perkara yang tidak diketahui. Ya Allah, betapa luasnya ilmu-Mu. Sebelum ini biasa ana terdengar ungkapan, "ilmu yang kita peroleh di dunia ini hakikatnya bagaikan setitis air di lautan". Ana kurang yakin dengan kata-kata tersebut, kerana bagi ana ilmu yang manusia telah capai adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Lihatlah teknologi dewasa ini, gah bukan? Apa sahaja yang kita inginkan sekarang ini segalanya di hujung jari. Tekan, petik, jentik, nah sudahpun menjadi milik kita. Akan tetapi, itu hakikatnya adalah pemikiran orang yang jahil seperti ana.

Tidak terfikir dek akal sebelum ini, bahawa segala ilmu yang kita peroleh hanya di planet yang bernama bumi sahaja, bagaimana pula dengan jutaan planet yang lain? bintang-bintang? bulan-bulan yang setia di sebahagian planet yang ditentukan? Allah, kerdilnya hamba-Mu ini. Entah di manakah aku pada pandangan-Mu ya Rabb. Kita juga tidak mengetahui ilmu masa akan datang, hanya mampu meramal tanpa ada sekelumit keyakinan bahawa ramalan itu pastinya berlaku. Dah nama pun ramalan. Begitu juga ilmu di alam ghaib atau alam roh. Allah ada berfirman: 'Dan mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang ruh, katakanlah bahawa ruh itu adalah urusan Tuhanmu, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit'. Kalam Allah ini menunjukkan tahap ilmu kita mengenali ruh bagaikan tiada kerana terlalu sedikit. Layakkah kita sebagai hamba-Nya ingin bermegah atau berbangga dengan ilmu yang setitik cuma?

Mengenangkan tentang kembali tajuk di atas, ana berasa gelisah dengan keadaan umat. Betapa ramai umat Muhammad sering mengeluarkan kenyataan tanpa ilmu. Lebih-lebih lagi jika berkaitan dengan ilmu agama. Tidak kalah juga mereka yang berdebat di medan facebook, sekadar menegeluarkan hujah rapuh yang bersandarkan kepada akal semata-mata, bukan berlandaskan ilmu mahupun al-quran dan as-sunnah. Mengenangkan perkara ini, ana ingin mendalami ilmu agama yang berkaitan dengan usul fiqh, kerana bagi ana, umat sekarang keliru dengan setiap perbuatan yang mereka lakukan, adakah ini mendatangkan dosa? Tidak kurang juga kepentingan usuluddin, akan tetapi hati ana memberontak bahawa usulfiqh yang lebih utama. Dengan itulah ana memutuskan untuk ke Mesir, supaya ana mampu untuk mempelajari dua perkara dalam satu masa, iaitu perubatan dan ilmu agama. Sekiranya Mesir itu bukanlah tempat yang terbaik bagi ana pada pandangan Allah, ana berharap suapaya sentiasa berdamping dengan mereka yang mendalami bidang ini.

Ana tak dapat nafikan, ana sangat jahil dengan ilmu agama. Terasa malu dan hina apabila soalan enteng yang diutarakan oleh orang luar berkaitan agama tetapi tidak mampu membalasnya. Hakikatnya, Allah memberikan kita banyak masa untuk kita pelajari dan mendalami ilmu-Nya. Hanya kita, sanggup atau tidak berjuang mendapatkannya. Ilmu Allah itu bukanlah tertakluk kepada ilmu agama semata-mata seperti pemahaman ramai orang. Akan tetapi ilmu Allah itu adalah segala jenis ilmu di alam ini bagaikan laut yang tidak bertepian. Subhana Allah, hebat sungguh kuasa-Mu, Ya Malik. Aku hamba-Mu.


No comments:

Post a Comment