Anda Pelawat Ke-...

web counter

Saturday, August 24, 2013

KBN Tanjung Rhu, Sepang. (1)

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim..

Segala puji bagi-Nya, ana berjaya menamatkan program biro tatanegara atau lebih dikenali sebagai btn yang bertempat di atas. Mungkin sedikit banyak pengalaman yang dikongsi, mampu membuatkan diri dan orang lain menghadapi kehidupannya lebih baik, kerana kita sudah mengerti apa yang terbaik buat kita apabila berlaku situasi yang bakal diceritakan pada masa akan datang.

Isnin, hari yang terpilih buat kami pelajar tajaan JAIS (sebahagiannya) untuk berkursus selama seminggu di lokasi yang sama. Hari berikut juga, ana dimusibahkan dengan ujian keracunan makanan. Oh, ana tidak bersendirian. Ibu, ayah dan k. Wani turut menerima padah yang sama setelah sehari berlalu dari tempoh kami menikmati hidangan di majlis resepsi rumah pengantin di Seremban. Alhamdulillah.. Ibu dan k. Wani tidaklah begitu serius jika ingin dibandingkan dengan keadaan ana dan ayah, boleh kata dalam cirit-birit 5 kali seorang, selain serangan sakit perut yang mendadak secara tiba-tiba dan begitu memualkan. Mungkin kerana asbab itu di tambah dengan keadaan hari yang berhujan lebat serta ayah pula berehat sebentar di kawasan rehat PLUS kerana kantuk yang tidak tertahan, kami tiba lewat dari masa yang ditetapkan, 4.40 pm. Walhal 4.30 adalah penutup pendaftaran.

Setelah tiba dan melalui program yang ditetapkan pada hari pertama, keadaan ana masih belum menunjukkan sinar kesihatan hendak muncul dalam masa terdekat ini. Dengan itu, ana memutuskan untuk ke klinik pada malam itu. Dengan kerjasama Pak Senan yang sporting dan Syida yang ceria ana bersama Syafiyah / Sofi Jemari, ke Hospital Banting, kerana klinik berdekatan telah pun menamatkan perkhidmatannya. Di sana kami menunggu lebih dari satu jam untuk menerima rawatan suntikan. Ketika perjalanan pulang, perut ana meragam kembali sehingga tidak senang duduk di dalam van itu, bagaikan memberontak hendak keluar dan jauh dari orang ( takut terkentut mungkin ). Jam di tangan membuatkan kami ragu-ragu, dapatkah kami tidur di dorm jika waktu sekarang sudah melangkau hampir jam 2.30 am? Kami meneruskan usaha mengetuk pintu dorm masing-masing serta melaungakan salam secara kuat dengan harapan kami berjaya melepaskan penat di katil yang baru di 'cop' petang tadi.

Harapan tinggal harapan, akhirnya kami memberanikan diri beradu di dorm kosong, dorm blok E. Alhamdulillah, Allah masih sayangkan kami. Syukurlah ada dorm kosong dari tidur di depan pintu. Malam itu, susah benar untuk melelapkan mata, mungkin kerana tidak selesa kesan suntikan yang diberikan. Malam itu, beberapa kali ana terbangun walaupun mula tidur pukul 3 am. Akhirnya ana terus bangun mencuba nasib sekali lagi bersama Syafiyah mengetuk pintu dorm pada pukul 4 pagi. Alhamdulillah, nasib kami tidak seperti sebelumnya, kami berjaya memasuki ruang kamar kami buat kali kedua. Seperti yang dijangka, perhatian dan fokus yang diharapkan bertahan sepanjang wacana minda dijalankan, terbang entah ke mana dek terlalu menahan kantuk. Berbeza dengan Syafiyah, bersemangat dia sehingga akhir ketiga-tiga ceramah. Malam itu, mula aktiviti PKPK (nama panjang dah lupa) yang berjalan di dalam kumpulan. Tetapi bermula dengan aktiviti bersama di dewan utama.

Beberapa aktiviti menarik dijalankan sebagai pembuka minda kami di malam buta itu. Aktiviti pertama di 'conduct' oleh abang Aduka dari Sabah dengan aktiviti senaman muka. Seterusnya diambil alih oleh k. Sherry. Kami menduduki ujian pantas dan duduk secara berjarak mengelakkan kami berbincang. Hanya 4 minit diberikan walhal berderetan soalan termaktub. Sedang asyik menjawab soalan kedua, konsentrasi ana terganggu apabila dikejutkan dengan suara lelaki " SAYA SUDAH SIAP". Ana menambah kelajuan ke tahap tertinggi sehinggalah bertalu-talu ucapan itu disebut oleh beberapa pelajar lain. Ana terhenti serta merta setelah berfikir sejenak, pasti ada yang tak kena dengan soalan ni. Ana mula membaca dengan berhati-hati. " Sila baca semua soalan sebelum menjawab". Uhuk.. terbatuk sebentar... itulah padahnya jika tak baca soalan pokok. Kerana apa di dalam pemikiran kita " Sila jawab semua soalan di bawah". Sehingga soalan ke belasan (ana tak pasti nombor brapa). Jika anda seorang muslim, sila jawab soalan satu dan sepuluh SAHAJA. Dengan itu, ana tetap gagal kerana menjawab beberapa soalan lain.

Aktiviti seterusnya adalah aktiviti " menjadi conductor irama". Abang Izham mengarahkan kami berdiri secara berjarak, menutup mata, memegang pen serta melayani perasaan sendiri sambil menggerakkan tangan lagak seorang conductor di hadapan pemain2 muzik. Awalnya, ana segan, walaupun ana tahu semua menutup mata, dengan itu, ana mencuri buka mata sikit. Setelah kelihatan mereka mula menggerakkan tangan ke kiri, ke kanan, ke atas dan ke bawah, ana memberanikan diri melayani perasaan ana. Sedang asyik menjadi conductor tidak bertauliah, ana tercium bau minyak wangi lelaki, ah.. ada orang yang sedang mendekati anakah? Perasaan mungkin.. Setelah tamat, abang Izham memberitahu sesuatu yang cukup untuk membuatkan jantung ana gugur! Mereka telah mengambil nama pelajar-pelajar yang terpilih untuk melakukan sekali lagi. Berbekalkan doa yang padu, ana memohon supaya nama ana bukanlah dalam kalangan mereka yang 'bertuah itu'. Nasib tidak menyebelahi ana, ana juga antara yang menjadi perhatian fesi di situ, benarlah ada yg mendekati ana ketika melayan perasaan tadi, sbb  ambil nama... Irama lain diputarkan dan kami melakonkannya sekali lagi, tidak mampu meresap di dalam sanubari dan melayani perasaan sendiri. MALUUUUU..... Mungkin kerana terlalu memikirkan perasaan malu itu, sehingga ana lupa, apa kebaikannya aktiviti ini.

Abang Feysal mengaturkan aktiviti seterusnya iaitu, Tiup angin tiup. Ya, permainan klise yang sentiasa diadakan pada mana-mana aktiviti. Akan tetapi, tetap ada arahan tambahan yang menjadikan aktiviti ini lebih menarik dan hidup. Akhir sekali, aktiviti sebelum tidur, abang Suhaimi (mungkin lebih selesa jika dipanggil TUAN) mengambil giliran. Jujurnya ana lupa apa yang diperkatakan pada malam itu, mungkin kerana mengantuk sangat? Barangkali. Akan tetapi, malam itu adalah malam yang kurang bernasib baik apabila tuan Suhaimi naik angin kerana seorang pelajar lelaki menggunakan telefon bimbit ketika program. Padahnya, hp kami juga dirampas malam itu. Sekali lagi tidur lambat menahan  mata, menadah telinga mendengar semburan marah bercampur teguran darinya.

Hari seterusnya berjalan tanpa hp di sisi. Bagi ana hal ini, bukanlah suatu perkara yang besar, kerana ana tidak terlalu berhp. Sepanjang hari aktiviti kami di dalam kelas bersama kumpulan yang telah diasingkan malam tadi, selepas babak kemarahan tuan suhaimi. Kami juga dibekalkan sebuah lagu patriotik satu kumpulan dan lagu kami, KAU BOLEH. Dengan ini juga bermulanya kehidupan kami, makan bersama ahli kumpulan. Antara yang diperbincangkan di kelas adalah berkaitan perlembagaan negara. Sungguh, ana tidak pernah ambil peduli sebelum ini tentang perkara itu. Setelah di brain wash dengan abang fesi kami yang sangat hebat, iaitu abang feysal, kami mula berminat tentang selok belok pentadbiran dan memahami sedikit banyak tentang kerajaan Malaysia. Kami juga diberi pendedahan tentang asal-usul melayu, makna melayu mengikut perlembagaan dan sebagainya. Antara mesej yang terkesan di hati ana ialah. Apabila abg feysal menyatakan tentang ayat quran ;                                              يا أيها الذين ءامنوا إن جاءكم فاسق بنبإ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين
Yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman! Jika datang seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan." Hal ini disandarkan juga kepada politik apabila kita menghukum sesuatu perkara, hanyalah apabila kita mengetahui dasar sahaja. Walhal kita perlu mengkaji dahulu tentang kebenaranyya sedalam mungkin supaya kita tidak menganiaya orang yang tidak bersalah. Apa yang cuba dijelaskan kepada kami tentang fahaman politik turut disertakan dengan bukti-bukti dan juga bersandarkan perlembagaan Malaysia. Sepertimana yang telah didakwa oleh sebahagian pihak bahawa perlembagaan Malaysia ini bercanggah dengan Al-Quran dengan As-Sunnah, masih lagi belum diketemui. Mari kita bersama2 mengkaji, jika benar-benar wujud. Informkan kepada ana dan ana akan rujuk kepada abang fesi ana. Mereka juga tak mengharapkan kami percaya 100% dengan apa yang mereka kongsikan, bahkan mereka menuntut kami supaya mengkaji dan mencari sendiri, benar mahupun tidak.

Nampaknya, banyak lagi yang perlu dikongsi. Mungkin ini sahaja dahulu porkongsian bahagian pertama.

Friday, August 2, 2013

Jahil




Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Semakin menuntut ilmu Allah, semakin terasa banyak lagi perkara yang tidak diketahui. Ya Allah, betapa luasnya ilmu-Mu. Sebelum ini biasa ana terdengar ungkapan, "ilmu yang kita peroleh di dunia ini hakikatnya bagaikan setitis air di lautan". Ana kurang yakin dengan kata-kata tersebut, kerana bagi ana ilmu yang manusia telah capai adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Lihatlah teknologi dewasa ini, gah bukan? Apa sahaja yang kita inginkan sekarang ini segalanya di hujung jari. Tekan, petik, jentik, nah sudahpun menjadi milik kita. Akan tetapi, itu hakikatnya adalah pemikiran orang yang jahil seperti ana.

Tidak terfikir dek akal sebelum ini, bahawa segala ilmu yang kita peroleh hanya di planet yang bernama bumi sahaja, bagaimana pula dengan jutaan planet yang lain? bintang-bintang? bulan-bulan yang setia di sebahagian planet yang ditentukan? Allah, kerdilnya hamba-Mu ini. Entah di manakah aku pada pandangan-Mu ya Rabb. Kita juga tidak mengetahui ilmu masa akan datang, hanya mampu meramal tanpa ada sekelumit keyakinan bahawa ramalan itu pastinya berlaku. Dah nama pun ramalan. Begitu juga ilmu di alam ghaib atau alam roh. Allah ada berfirman: 'Dan mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang ruh, katakanlah bahawa ruh itu adalah urusan Tuhanmu, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit'. Kalam Allah ini menunjukkan tahap ilmu kita mengenali ruh bagaikan tiada kerana terlalu sedikit. Layakkah kita sebagai hamba-Nya ingin bermegah atau berbangga dengan ilmu yang setitik cuma?

Mengenangkan tentang kembali tajuk di atas, ana berasa gelisah dengan keadaan umat. Betapa ramai umat Muhammad sering mengeluarkan kenyataan tanpa ilmu. Lebih-lebih lagi jika berkaitan dengan ilmu agama. Tidak kalah juga mereka yang berdebat di medan facebook, sekadar menegeluarkan hujah rapuh yang bersandarkan kepada akal semata-mata, bukan berlandaskan ilmu mahupun al-quran dan as-sunnah. Mengenangkan perkara ini, ana ingin mendalami ilmu agama yang berkaitan dengan usul fiqh, kerana bagi ana, umat sekarang keliru dengan setiap perbuatan yang mereka lakukan, adakah ini mendatangkan dosa? Tidak kurang juga kepentingan usuluddin, akan tetapi hati ana memberontak bahawa usulfiqh yang lebih utama. Dengan itulah ana memutuskan untuk ke Mesir, supaya ana mampu untuk mempelajari dua perkara dalam satu masa, iaitu perubatan dan ilmu agama. Sekiranya Mesir itu bukanlah tempat yang terbaik bagi ana pada pandangan Allah, ana berharap suapaya sentiasa berdamping dengan mereka yang mendalami bidang ini.

Ana tak dapat nafikan, ana sangat jahil dengan ilmu agama. Terasa malu dan hina apabila soalan enteng yang diutarakan oleh orang luar berkaitan agama tetapi tidak mampu membalasnya. Hakikatnya, Allah memberikan kita banyak masa untuk kita pelajari dan mendalami ilmu-Nya. Hanya kita, sanggup atau tidak berjuang mendapatkannya. Ilmu Allah itu bukanlah tertakluk kepada ilmu agama semata-mata seperti pemahaman ramai orang. Akan tetapi ilmu Allah itu adalah segala jenis ilmu di alam ini bagaikan laut yang tidak bertepian. Subhana Allah, hebat sungguh kuasa-Mu, Ya Malik. Aku hamba-Mu.