Anda Pelawat Ke-...

web counter

Saturday, September 14, 2013

KBN Tanjung Rhu, Sepang. (2)

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Disebabkan lama jaraknya bahagian 1 dan 2, memori yang tersemat di ingatan tentang btn mula merangkak hilang. Apa yang masih tersisa inilah sahaja untuk dikongsi bersama.

Malam terakhir kami di kem, kami bersiap siaga untuk acara yang terakhir (ingatkan yang terakhir) iaitu pertandingan menyanyikan lagu patriotik. Malam bertuah, lagu kami 'Kau Boleh' mendapat undian yang pertama pada malam itu. Tiga minit masa diberikan untuk mempersembahkan persembahan. Jujurnya, kami tidak membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi pertandingan itu. Kami hanya mula berlatih pada petang hari pertandingan, memang mengambil kesempatan atas keadaan fizikal lagu kami yang mudah, ringkas dan diketahui umum. Manakala kumpulan lain, mereka diuji dengan mendapat lagu patriotik yang ana sendiri tidak pernah mendengarnya, oleh itu, usaha mereka lebih lagi dan sudah tentu menghasilkan persembahan yang begitu memuaskan. Abang fesi kami juga yang kurang yakin dengan persediaan kami, memohon kepada MC agar undian kami ditukar(tidak berjaya).

Sememangnya abang Feysal tak mengetahui persediaan kami kerana petang itu dia dimusibahkan dengan sakit kepala. Dengan doa ringkas ditutur, langkah kami mula diatur ke atas pentas sebagaimana yang telah direncanakan. Diketuai oleh ketua kumpulan kami yang berwibawa, Mustaqim (dia juga ketua kumpulan Al-Farra' ketika kursus bahasa di Ulu Yam), kami memulakan persembahan yang penuh bersemangat. Alhamdulillah, setelah seminit lima saat berlalu, kami berjaya menamatkan persembahan bersama sifar kesalahan. Dari itu, kami menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin. Ya, sangat sekejap. Kami kekurangan idea kreativiti pada awal dan akhir persembahan. Setelah beberapa kumpulan berlalu, kami bagaikan terkesima melihat kreativiti yang begitu memberansangkan seperti sajak, pantun, lakonan dan ucapan pada awal persembahan. Heh, x tercapai dek akal, mungkin kerana kami lambat memulakan persediaan. Alhamdulillah, cukuplah sekadar itu yang kami sampaikan. Seperti yang dijangka, kumpulan kami tidak mendapat tempat ketiga tertinggi. Ke berapa? Ketiga akhir mungkin.. Akan tetapi, pengalaman sepanjang kami berlatih, bersama dan bekerjasama, meninggalkan kesan dan ingatan yang mendalam pada diri kami.

Antara babak yang tidak dapat ana lupakan sepanjang di btn adalah ketika waktu makan di suatu petang. Kami duduk makan bersama-ahli kumpulan, lazimnya pelajar perempuan akan menyenduk nasi dan lauk terlebih dahulu sebelum menghulurkan kepada pelajar lelaki yang berkedudukan terkebelakang sedikit. Kekadang, kami akan menyenduk makanan untuk pelajar lelaki sekali, tetapi jarang. Ironinya pada petang itu, pelajar lelaki mengambil tempat di hadapan dan mengambil alih 'pekerjaan' kami dengan menyenduk nasi kepada kami dengan kuantiti yang SANGAT banyak.
Lucu. Petang itu kami bagaikan dilayan istimewa termasuk perkhidmatan mengelap meja. Tidak dinafikan, hubungan kami satu kumpulan terasa bagaikan adik-beradik sepertimana yang dituntut oleh abang fesi kami.

Setelah tamat kesemua persembahan pada malam itu, kami dikerahkan dengan aktiviti yang terakhir. Benar-benar terakhir sebelum kami menghadapi ujian kefahaman pada esok hari. Aktiviti yang memberi kesan yang SANGAT mendalam pada ana. Memang, ana seorang yang emosi. Perkara yang biasa atau klise kekadang pada ana sudah menjadi sebak. Malam itu, kami diarahkan untuk duduk bersama kumpulan di dalam dewan. Aktiviti terakhir dimulakan dengan pemberitahuan peraturan yang berjela banyaknya. Sehinggakan entah ada atau tidak ana melanggar salah satu darinya. Kami diarah supaya tidak bersuara, tidak berjalan menggunakan tapak kaki iaitu menggunakan lutut dan sebagainya. Setelah itu, setiap kumpulan diberi sehelai sampul surat besar yang terisi sesuatu di dalamnya. Setiap kumpulan berbeza dan kumpulan ana mendapat celotape. Hairan, kami cuma duduk termenung sambil mencari-cari sesuatu di dalam sampul sekiranya terselit nota. Kami meninjau-ninjau kegiatan kumpulan lain untuk mendapat clue apa yang perlu dilakukan. Mereka juga bagaikan terpinga-pinga. Hasil eye contact dari ketua-ketua kumpulan, mereka membuat perjumpaan di tengah-tengah dewan dan mula berbincang tanpa bersuara. Sukar benar untuk mereka bergerak kerana kami berada di kedudukan dewan seminar, dewan bertangga. Setelah itu, mereka mula membuat sesuatu dalam keadaan yang bersusah payah. Ana, pada waktu itu, (perasaan seorang yang emosional) terasa bagaikan hendak menangis kerana rasa tidak berguna kepada mereka. Ana tertunggu-tunggu isyarat dari mana-mana ketua supaya kami dapat membantu sama, tapi hampa. Doa yang dibisik tidak menampakkan hasilnya, apa yang perlu ana buat sekarang? Tidak mungkinlah sekiranya ana ingin memberanikan diri berjalan ke arah mereka, bagaikan ganjil pula, sedangkan lelaki ramai lagi ada, inikan seorang perempuan yang berkain bersusah payah berjalan mendapat kan mereka di atas sana, 'apa yang perlu ditolong?'. Sedang duduk bersama ahli kumpulan walhal ketua setiap kumpulan bersusah payah melakukan sesuatu, beberapa insan dari kumpulan yang berbeza telah dicekup dan dimasukkan ke dalam 'penjara'. Ya, wujud penjara di dalam aktiviti ini.

Pada pemikiran ana waktu itu, mereka yang tertangkap ini pastilah mereka yang tidak mendengar kata, melanggar peraturan aktiviti dan sebagainya. Muncul perasaan geram kepada mereka secara tidak langsung kerana tidak berhati-hati bahkan menyulitkan aktiviti. Akan tetapi, setelah diperhatikan betul-betul, ana memahami sesuatu, hakikatnya, mereka yang tertangkap adalah mereka yang mula memahami rentak permainan ini dan mereka juga yang menjadi perintis kepada kebagkitan kami kemudiannya. Disebabkan bertutur tidak dibenarkan, kami menggunakan body language sebagai medium komunikasi. Dan mereka yang mula menggerakkan badan memberi arahan kepada pelajar-pelajar lain turut DITANGKAP. Ah, ana faham! Ana meminta ahli kumpulan ana (lelaki) untuk bangun dan membantu mereka. Awalnya mereka bagaikan takut untuk bergerak, tetapi setelah didesak, mereka mula berani untuk bersama dengan ketua-ketua yang sedang sibuk melaksanakan tugasan.

 Ya, memang ana seorang pengecut kerana tidak bersama mereka, dan perbuatan itulah yang membuat ana menyesal sehingga ke hari ini. Ana teruskan duduk dan mengharap, mereka berjaya melakukan misi yang diamanahkan. Beberapa saat mereka(pelajar lelaki kumpulan ana) bergerak, kami dikejutkan dengan teriak seorang kakak fesi, ' pelajar perempuan duduk sahajakah?!' Pehhh... Bagaikan tamparan berapi hinggap di pipi ana.. terasa merah pipi ini. Malu. Tanpa memikirkan ana bakal ditangkap kerana perempuan pertama(mungkin) bergerak dari tempat duduk, ana bergerak terus ke arah mereka sambil membuat isyarat yang bermaksud 'nak buat apa sekarang ni?' Sebahagian mereka turun ke bawah dan memberikan beberapa helai kain bebeza warna. Biru, putih, kuning dan merah. Ah, Jalur Gemilang! Kami berganding bahu membuat Jalur Gemilang kedua manakala Jalur Gemilang pertama masih dalam persiapan yang dikendalikan oleh ketua-ketua kumpulan tadi. Waktu semakin singkat, tetapi, ramai yang masih bergoyang kaki kerana blur apa yang berlaku? apa yang perlu lakukan? Sedang sibuk melakukan tugasan bersama beberapa pelajar lelaki, tiba-tiba ana terfikir, pastinya pelajar perempuan yang lain mengharapkan isyarat sekurang-kurangnya dari ana untuk memberikan bantuan seperti apa yang ana rasakan sebelumnya. Berhenti sejenak, ana menegakkan badan, memanggil pelajar-pelajar lain yang masih berada di kumpulan mereka, supaya mereka dapat membantu sama. Setelah hampir separuh masa berjalan, barulah kami tahu bahawa penghulu kami mempunyai kuasa bercakap dan berjalan normal. Setelah itu, dia mula mengetuai aktiviti tersebut. Berada di atas pentas, menunjukkan Jalur Gemilang sebenar agar kami tidak tersalah walaupun sedikit.

Apabila kehadiran pelajar-pelajar perempuan berbondong-bondongan. Ana mengagihkan tugas kepada mereka, setakat mana pelajar yang mampu ana berinteraksi. Sebahagian mereka mula menggunting celotape, menggunting kain, membuat bintang dan bulan dan sebagainya. Sedang kami kelam kabut melaksanakannya, satu lagi teriakan dari kakak fesi yang tak kurang hangatnya tamparan itu di hati. 'lambatnya buat kerja! Penghulu, gugurkan sahaja mereka ni!' Sewaktu itu, fikiran ana terus hinggap kepada para pemimpin Malaysia yang sering aja ditimpa tohmahan dan cacian yang mungkin juga atas kesalahan mereka, akan tetapi, kita tidak akan tahu bagaimana keadaan mereka sewaktu itu dan betapa peritnya pengrbanan mereka. Benarlah perlian dan cacian tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Sekiranya kita mampu untuk menegur atau mengubah cara mereka, lakukanlah, sekiranya tidak, cukuplah doa pelembut hati serta hidayah buat mereka. Zupp.. ana dibumi realiti, tanpa menghiraukan lagi ucapan atau lebih tepatnya teriakan kakak fesi dan abang fesi, kami meneruskan penyiapan Jalur Gemilang kedua dan seterusnya melekatkan JG 1 dan JG 2 agar bendera itu tergambar dua sisi, depan dan belakang. Berjaya! Alhamdulillah.. selesai tugas kami setelah beberapa kali penghulu meminta belas ihsan dari abang fesi untuk menambah masa. Tugasan terakhir adalah membuat bulatan besar dan semua pelajar perlu ada di dalamnya. Tidak semena-mena penghulu terpaksa merayu kepada abang fesi supaya membebaskan banduan. Abang fesi : Kenapa engkau nakkan diorang? diorang dah susahkan kau,  tak dengar kata! Apa gunanya lagi untuk engkau?. Penghulu : Setiap mereka telah bantu saya dan mereka tidak sengaja melakukan kesalahan yang terlarang... bla.bla..bla.. Abang fesi : Aku nakkan jawapan yang betul-betul dari hati kau, kenapa kau nak diorang?! Penghulu : berfikir... Semua banduan tu bantu saya... bla..bla..bla.. Setelah beberapa jawapan ditolak mentah-mentah, akhirnya, satu jawapan hikmat terpacul lemah dari mulut penghulu : Sebab saya sayangkan mereka..... Jawapan itulah yang ditunggu oleh setiap fesi kami di dalam dewan itu. Banduan dibebaskan, upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada penyelaras btn dijalankan dan kami serta-merta menyanyikan lagu 'Negaraku'. Sebak benar hati ini melihat keadaan seperti ini. Ketika menyanyi dengan penuh perasaan, terimbau keadaan sejenak tadi yang penuh cemas dan emosi. Gugur air mata membasahi pipi, aku baru memahami aktiviti yang sungguh hebat ini.

Abang dan kakak fesi dianggap sebagai penjajah, kami sebagai rakyat Tanah Melayu, banduan sebagai pejuang tanah air seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong etc. Ketika sesi perkongsian berjalan, barulah ana sedar bahawa mereka yang tertangkap adalah mereka yang cuba menyedarkan orang lain tentang aktiviti ini, apa yang perlu mereka lakukan. Ada juga yang cuba menyampaikan meklumat kepada penghulu melalui surat tentang peranannya di awal aktiviti, tetapi penghulu gagal memahami dan dia ditangkap dan lain-lain lagi. Begitu terasa syukur sungguh nikmat MERDEKA ini ketika itu. Air mata yang menderu keluar bagaikan tidak mahu henti. Tambahan pula dengan lagu dendangan Sudirman berjudul Warisan. Malam itu, bagaikan terlupa kewujudan ujian esok.

Malam itu juga, kami berpisah dengan abang kakak fesi. Kecewa sungguh kami kumpulan abang Feysal tidak sempat untuk duduk makan bersama pada malam terakhir itu. Harapan kami untuk sesi bermaafan bersamanya terus dibawa pergi begitu sahaja. Sesi bermaafan tetap berjalan, tetapi diantara kami 'adik-beradik' sambil menjamah makanan yang dibeli oleh abang Feysal kepada kami.
Keesokan harinya, kami menduduki ujian sebelum kudapan tengahari dan pulang. Kudapan terakhir itu sekali lagi disediakan oleh pelajar lelaki dengan kuantiti yang masih banyak tetapi ada pengurangan berbanding hari sebelumnya. Alhamdulillah, selesai sudah kem btn kami. Semoga kita berjumpa lagi, bermesra kembali.


No comments:

Post a Comment