Anda Pelawat Ke-...

web counter

Saturday, September 14, 2013

KBN Tanjung Rhu, Sepang. (2)

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Disebabkan lama jaraknya bahagian 1 dan 2, memori yang tersemat di ingatan tentang btn mula merangkak hilang. Apa yang masih tersisa inilah sahaja untuk dikongsi bersama.

Malam terakhir kami di kem, kami bersiap siaga untuk acara yang terakhir (ingatkan yang terakhir) iaitu pertandingan menyanyikan lagu patriotik. Malam bertuah, lagu kami 'Kau Boleh' mendapat undian yang pertama pada malam itu. Tiga minit masa diberikan untuk mempersembahkan persembahan. Jujurnya, kami tidak membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi pertandingan itu. Kami hanya mula berlatih pada petang hari pertandingan, memang mengambil kesempatan atas keadaan fizikal lagu kami yang mudah, ringkas dan diketahui umum. Manakala kumpulan lain, mereka diuji dengan mendapat lagu patriotik yang ana sendiri tidak pernah mendengarnya, oleh itu, usaha mereka lebih lagi dan sudah tentu menghasilkan persembahan yang begitu memuaskan. Abang fesi kami juga yang kurang yakin dengan persediaan kami, memohon kepada MC agar undian kami ditukar(tidak berjaya).

Sememangnya abang Feysal tak mengetahui persediaan kami kerana petang itu dia dimusibahkan dengan sakit kepala. Dengan doa ringkas ditutur, langkah kami mula diatur ke atas pentas sebagaimana yang telah direncanakan. Diketuai oleh ketua kumpulan kami yang berwibawa, Mustaqim (dia juga ketua kumpulan Al-Farra' ketika kursus bahasa di Ulu Yam), kami memulakan persembahan yang penuh bersemangat. Alhamdulillah, setelah seminit lima saat berlalu, kami berjaya menamatkan persembahan bersama sifar kesalahan. Dari itu, kami menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin. Ya, sangat sekejap. Kami kekurangan idea kreativiti pada awal dan akhir persembahan. Setelah beberapa kumpulan berlalu, kami bagaikan terkesima melihat kreativiti yang begitu memberansangkan seperti sajak, pantun, lakonan dan ucapan pada awal persembahan. Heh, x tercapai dek akal, mungkin kerana kami lambat memulakan persediaan. Alhamdulillah, cukuplah sekadar itu yang kami sampaikan. Seperti yang dijangka, kumpulan kami tidak mendapat tempat ketiga tertinggi. Ke berapa? Ketiga akhir mungkin.. Akan tetapi, pengalaman sepanjang kami berlatih, bersama dan bekerjasama, meninggalkan kesan dan ingatan yang mendalam pada diri kami.

Antara babak yang tidak dapat ana lupakan sepanjang di btn adalah ketika waktu makan di suatu petang. Kami duduk makan bersama-ahli kumpulan, lazimnya pelajar perempuan akan menyenduk nasi dan lauk terlebih dahulu sebelum menghulurkan kepada pelajar lelaki yang berkedudukan terkebelakang sedikit. Kekadang, kami akan menyenduk makanan untuk pelajar lelaki sekali, tetapi jarang. Ironinya pada petang itu, pelajar lelaki mengambil tempat di hadapan dan mengambil alih 'pekerjaan' kami dengan menyenduk nasi kepada kami dengan kuantiti yang SANGAT banyak.
Lucu. Petang itu kami bagaikan dilayan istimewa termasuk perkhidmatan mengelap meja. Tidak dinafikan, hubungan kami satu kumpulan terasa bagaikan adik-beradik sepertimana yang dituntut oleh abang fesi kami.

Setelah tamat kesemua persembahan pada malam itu, kami dikerahkan dengan aktiviti yang terakhir. Benar-benar terakhir sebelum kami menghadapi ujian kefahaman pada esok hari. Aktiviti yang memberi kesan yang SANGAT mendalam pada ana. Memang, ana seorang yang emosi. Perkara yang biasa atau klise kekadang pada ana sudah menjadi sebak. Malam itu, kami diarahkan untuk duduk bersama kumpulan di dalam dewan. Aktiviti terakhir dimulakan dengan pemberitahuan peraturan yang berjela banyaknya. Sehinggakan entah ada atau tidak ana melanggar salah satu darinya. Kami diarah supaya tidak bersuara, tidak berjalan menggunakan tapak kaki iaitu menggunakan lutut dan sebagainya. Setelah itu, setiap kumpulan diberi sehelai sampul surat besar yang terisi sesuatu di dalamnya. Setiap kumpulan berbeza dan kumpulan ana mendapat celotape. Hairan, kami cuma duduk termenung sambil mencari-cari sesuatu di dalam sampul sekiranya terselit nota. Kami meninjau-ninjau kegiatan kumpulan lain untuk mendapat clue apa yang perlu dilakukan. Mereka juga bagaikan terpinga-pinga. Hasil eye contact dari ketua-ketua kumpulan, mereka membuat perjumpaan di tengah-tengah dewan dan mula berbincang tanpa bersuara. Sukar benar untuk mereka bergerak kerana kami berada di kedudukan dewan seminar, dewan bertangga. Setelah itu, mereka mula membuat sesuatu dalam keadaan yang bersusah payah. Ana, pada waktu itu, (perasaan seorang yang emosional) terasa bagaikan hendak menangis kerana rasa tidak berguna kepada mereka. Ana tertunggu-tunggu isyarat dari mana-mana ketua supaya kami dapat membantu sama, tapi hampa. Doa yang dibisik tidak menampakkan hasilnya, apa yang perlu ana buat sekarang? Tidak mungkinlah sekiranya ana ingin memberanikan diri berjalan ke arah mereka, bagaikan ganjil pula, sedangkan lelaki ramai lagi ada, inikan seorang perempuan yang berkain bersusah payah berjalan mendapat kan mereka di atas sana, 'apa yang perlu ditolong?'. Sedang duduk bersama ahli kumpulan walhal ketua setiap kumpulan bersusah payah melakukan sesuatu, beberapa insan dari kumpulan yang berbeza telah dicekup dan dimasukkan ke dalam 'penjara'. Ya, wujud penjara di dalam aktiviti ini.

Pada pemikiran ana waktu itu, mereka yang tertangkap ini pastilah mereka yang tidak mendengar kata, melanggar peraturan aktiviti dan sebagainya. Muncul perasaan geram kepada mereka secara tidak langsung kerana tidak berhati-hati bahkan menyulitkan aktiviti. Akan tetapi, setelah diperhatikan betul-betul, ana memahami sesuatu, hakikatnya, mereka yang tertangkap adalah mereka yang mula memahami rentak permainan ini dan mereka juga yang menjadi perintis kepada kebagkitan kami kemudiannya. Disebabkan bertutur tidak dibenarkan, kami menggunakan body language sebagai medium komunikasi. Dan mereka yang mula menggerakkan badan memberi arahan kepada pelajar-pelajar lain turut DITANGKAP. Ah, ana faham! Ana meminta ahli kumpulan ana (lelaki) untuk bangun dan membantu mereka. Awalnya mereka bagaikan takut untuk bergerak, tetapi setelah didesak, mereka mula berani untuk bersama dengan ketua-ketua yang sedang sibuk melaksanakan tugasan.

 Ya, memang ana seorang pengecut kerana tidak bersama mereka, dan perbuatan itulah yang membuat ana menyesal sehingga ke hari ini. Ana teruskan duduk dan mengharap, mereka berjaya melakukan misi yang diamanahkan. Beberapa saat mereka(pelajar lelaki kumpulan ana) bergerak, kami dikejutkan dengan teriak seorang kakak fesi, ' pelajar perempuan duduk sahajakah?!' Pehhh... Bagaikan tamparan berapi hinggap di pipi ana.. terasa merah pipi ini. Malu. Tanpa memikirkan ana bakal ditangkap kerana perempuan pertama(mungkin) bergerak dari tempat duduk, ana bergerak terus ke arah mereka sambil membuat isyarat yang bermaksud 'nak buat apa sekarang ni?' Sebahagian mereka turun ke bawah dan memberikan beberapa helai kain bebeza warna. Biru, putih, kuning dan merah. Ah, Jalur Gemilang! Kami berganding bahu membuat Jalur Gemilang kedua manakala Jalur Gemilang pertama masih dalam persiapan yang dikendalikan oleh ketua-ketua kumpulan tadi. Waktu semakin singkat, tetapi, ramai yang masih bergoyang kaki kerana blur apa yang berlaku? apa yang perlu lakukan? Sedang sibuk melakukan tugasan bersama beberapa pelajar lelaki, tiba-tiba ana terfikir, pastinya pelajar perempuan yang lain mengharapkan isyarat sekurang-kurangnya dari ana untuk memberikan bantuan seperti apa yang ana rasakan sebelumnya. Berhenti sejenak, ana menegakkan badan, memanggil pelajar-pelajar lain yang masih berada di kumpulan mereka, supaya mereka dapat membantu sama. Setelah hampir separuh masa berjalan, barulah kami tahu bahawa penghulu kami mempunyai kuasa bercakap dan berjalan normal. Setelah itu, dia mula mengetuai aktiviti tersebut. Berada di atas pentas, menunjukkan Jalur Gemilang sebenar agar kami tidak tersalah walaupun sedikit.

Apabila kehadiran pelajar-pelajar perempuan berbondong-bondongan. Ana mengagihkan tugas kepada mereka, setakat mana pelajar yang mampu ana berinteraksi. Sebahagian mereka mula menggunting celotape, menggunting kain, membuat bintang dan bulan dan sebagainya. Sedang kami kelam kabut melaksanakannya, satu lagi teriakan dari kakak fesi yang tak kurang hangatnya tamparan itu di hati. 'lambatnya buat kerja! Penghulu, gugurkan sahaja mereka ni!' Sewaktu itu, fikiran ana terus hinggap kepada para pemimpin Malaysia yang sering aja ditimpa tohmahan dan cacian yang mungkin juga atas kesalahan mereka, akan tetapi, kita tidak akan tahu bagaimana keadaan mereka sewaktu itu dan betapa peritnya pengrbanan mereka. Benarlah perlian dan cacian tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Sekiranya kita mampu untuk menegur atau mengubah cara mereka, lakukanlah, sekiranya tidak, cukuplah doa pelembut hati serta hidayah buat mereka. Zupp.. ana dibumi realiti, tanpa menghiraukan lagi ucapan atau lebih tepatnya teriakan kakak fesi dan abang fesi, kami meneruskan penyiapan Jalur Gemilang kedua dan seterusnya melekatkan JG 1 dan JG 2 agar bendera itu tergambar dua sisi, depan dan belakang. Berjaya! Alhamdulillah.. selesai tugas kami setelah beberapa kali penghulu meminta belas ihsan dari abang fesi untuk menambah masa. Tugasan terakhir adalah membuat bulatan besar dan semua pelajar perlu ada di dalamnya. Tidak semena-mena penghulu terpaksa merayu kepada abang fesi supaya membebaskan banduan. Abang fesi : Kenapa engkau nakkan diorang? diorang dah susahkan kau,  tak dengar kata! Apa gunanya lagi untuk engkau?. Penghulu : Setiap mereka telah bantu saya dan mereka tidak sengaja melakukan kesalahan yang terlarang... bla.bla..bla.. Abang fesi : Aku nakkan jawapan yang betul-betul dari hati kau, kenapa kau nak diorang?! Penghulu : berfikir... Semua banduan tu bantu saya... bla..bla..bla.. Setelah beberapa jawapan ditolak mentah-mentah, akhirnya, satu jawapan hikmat terpacul lemah dari mulut penghulu : Sebab saya sayangkan mereka..... Jawapan itulah yang ditunggu oleh setiap fesi kami di dalam dewan itu. Banduan dibebaskan, upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada penyelaras btn dijalankan dan kami serta-merta menyanyikan lagu 'Negaraku'. Sebak benar hati ini melihat keadaan seperti ini. Ketika menyanyi dengan penuh perasaan, terimbau keadaan sejenak tadi yang penuh cemas dan emosi. Gugur air mata membasahi pipi, aku baru memahami aktiviti yang sungguh hebat ini.

Abang dan kakak fesi dianggap sebagai penjajah, kami sebagai rakyat Tanah Melayu, banduan sebagai pejuang tanah air seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong etc. Ketika sesi perkongsian berjalan, barulah ana sedar bahawa mereka yang tertangkap adalah mereka yang cuba menyedarkan orang lain tentang aktiviti ini, apa yang perlu mereka lakukan. Ada juga yang cuba menyampaikan meklumat kepada penghulu melalui surat tentang peranannya di awal aktiviti, tetapi penghulu gagal memahami dan dia ditangkap dan lain-lain lagi. Begitu terasa syukur sungguh nikmat MERDEKA ini ketika itu. Air mata yang menderu keluar bagaikan tidak mahu henti. Tambahan pula dengan lagu dendangan Sudirman berjudul Warisan. Malam itu, bagaikan terlupa kewujudan ujian esok.

Malam itu juga, kami berpisah dengan abang kakak fesi. Kecewa sungguh kami kumpulan abang Feysal tidak sempat untuk duduk makan bersama pada malam terakhir itu. Harapan kami untuk sesi bermaafan bersamanya terus dibawa pergi begitu sahaja. Sesi bermaafan tetap berjalan, tetapi diantara kami 'adik-beradik' sambil menjamah makanan yang dibeli oleh abang Feysal kepada kami.
Keesokan harinya, kami menduduki ujian sebelum kudapan tengahari dan pulang. Kudapan terakhir itu sekali lagi disediakan oleh pelajar lelaki dengan kuantiti yang masih banyak tetapi ada pengurangan berbanding hari sebelumnya. Alhamdulillah, selesai sudah kem btn kami. Semoga kita berjumpa lagi, bermesra kembali.


Saturday, August 24, 2013

KBN Tanjung Rhu, Sepang. (1)

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim..

Segala puji bagi-Nya, ana berjaya menamatkan program biro tatanegara atau lebih dikenali sebagai btn yang bertempat di atas. Mungkin sedikit banyak pengalaman yang dikongsi, mampu membuatkan diri dan orang lain menghadapi kehidupannya lebih baik, kerana kita sudah mengerti apa yang terbaik buat kita apabila berlaku situasi yang bakal diceritakan pada masa akan datang.

Isnin, hari yang terpilih buat kami pelajar tajaan JAIS (sebahagiannya) untuk berkursus selama seminggu di lokasi yang sama. Hari berikut juga, ana dimusibahkan dengan ujian keracunan makanan. Oh, ana tidak bersendirian. Ibu, ayah dan k. Wani turut menerima padah yang sama setelah sehari berlalu dari tempoh kami menikmati hidangan di majlis resepsi rumah pengantin di Seremban. Alhamdulillah.. Ibu dan k. Wani tidaklah begitu serius jika ingin dibandingkan dengan keadaan ana dan ayah, boleh kata dalam cirit-birit 5 kali seorang, selain serangan sakit perut yang mendadak secara tiba-tiba dan begitu memualkan. Mungkin kerana asbab itu di tambah dengan keadaan hari yang berhujan lebat serta ayah pula berehat sebentar di kawasan rehat PLUS kerana kantuk yang tidak tertahan, kami tiba lewat dari masa yang ditetapkan, 4.40 pm. Walhal 4.30 adalah penutup pendaftaran.

Setelah tiba dan melalui program yang ditetapkan pada hari pertama, keadaan ana masih belum menunjukkan sinar kesihatan hendak muncul dalam masa terdekat ini. Dengan itu, ana memutuskan untuk ke klinik pada malam itu. Dengan kerjasama Pak Senan yang sporting dan Syida yang ceria ana bersama Syafiyah / Sofi Jemari, ke Hospital Banting, kerana klinik berdekatan telah pun menamatkan perkhidmatannya. Di sana kami menunggu lebih dari satu jam untuk menerima rawatan suntikan. Ketika perjalanan pulang, perut ana meragam kembali sehingga tidak senang duduk di dalam van itu, bagaikan memberontak hendak keluar dan jauh dari orang ( takut terkentut mungkin ). Jam di tangan membuatkan kami ragu-ragu, dapatkah kami tidur di dorm jika waktu sekarang sudah melangkau hampir jam 2.30 am? Kami meneruskan usaha mengetuk pintu dorm masing-masing serta melaungakan salam secara kuat dengan harapan kami berjaya melepaskan penat di katil yang baru di 'cop' petang tadi.

Harapan tinggal harapan, akhirnya kami memberanikan diri beradu di dorm kosong, dorm blok E. Alhamdulillah, Allah masih sayangkan kami. Syukurlah ada dorm kosong dari tidur di depan pintu. Malam itu, susah benar untuk melelapkan mata, mungkin kerana tidak selesa kesan suntikan yang diberikan. Malam itu, beberapa kali ana terbangun walaupun mula tidur pukul 3 am. Akhirnya ana terus bangun mencuba nasib sekali lagi bersama Syafiyah mengetuk pintu dorm pada pukul 4 pagi. Alhamdulillah, nasib kami tidak seperti sebelumnya, kami berjaya memasuki ruang kamar kami buat kali kedua. Seperti yang dijangka, perhatian dan fokus yang diharapkan bertahan sepanjang wacana minda dijalankan, terbang entah ke mana dek terlalu menahan kantuk. Berbeza dengan Syafiyah, bersemangat dia sehingga akhir ketiga-tiga ceramah. Malam itu, mula aktiviti PKPK (nama panjang dah lupa) yang berjalan di dalam kumpulan. Tetapi bermula dengan aktiviti bersama di dewan utama.

Beberapa aktiviti menarik dijalankan sebagai pembuka minda kami di malam buta itu. Aktiviti pertama di 'conduct' oleh abang Aduka dari Sabah dengan aktiviti senaman muka. Seterusnya diambil alih oleh k. Sherry. Kami menduduki ujian pantas dan duduk secara berjarak mengelakkan kami berbincang. Hanya 4 minit diberikan walhal berderetan soalan termaktub. Sedang asyik menjawab soalan kedua, konsentrasi ana terganggu apabila dikejutkan dengan suara lelaki " SAYA SUDAH SIAP". Ana menambah kelajuan ke tahap tertinggi sehinggalah bertalu-talu ucapan itu disebut oleh beberapa pelajar lain. Ana terhenti serta merta setelah berfikir sejenak, pasti ada yang tak kena dengan soalan ni. Ana mula membaca dengan berhati-hati. " Sila baca semua soalan sebelum menjawab". Uhuk.. terbatuk sebentar... itulah padahnya jika tak baca soalan pokok. Kerana apa di dalam pemikiran kita " Sila jawab semua soalan di bawah". Sehingga soalan ke belasan (ana tak pasti nombor brapa). Jika anda seorang muslim, sila jawab soalan satu dan sepuluh SAHAJA. Dengan itu, ana tetap gagal kerana menjawab beberapa soalan lain.

Aktiviti seterusnya adalah aktiviti " menjadi conductor irama". Abang Izham mengarahkan kami berdiri secara berjarak, menutup mata, memegang pen serta melayani perasaan sendiri sambil menggerakkan tangan lagak seorang conductor di hadapan pemain2 muzik. Awalnya, ana segan, walaupun ana tahu semua menutup mata, dengan itu, ana mencuri buka mata sikit. Setelah kelihatan mereka mula menggerakkan tangan ke kiri, ke kanan, ke atas dan ke bawah, ana memberanikan diri melayani perasaan ana. Sedang asyik menjadi conductor tidak bertauliah, ana tercium bau minyak wangi lelaki, ah.. ada orang yang sedang mendekati anakah? Perasaan mungkin.. Setelah tamat, abang Izham memberitahu sesuatu yang cukup untuk membuatkan jantung ana gugur! Mereka telah mengambil nama pelajar-pelajar yang terpilih untuk melakukan sekali lagi. Berbekalkan doa yang padu, ana memohon supaya nama ana bukanlah dalam kalangan mereka yang 'bertuah itu'. Nasib tidak menyebelahi ana, ana juga antara yang menjadi perhatian fesi di situ, benarlah ada yg mendekati ana ketika melayan perasaan tadi, sbb  ambil nama... Irama lain diputarkan dan kami melakonkannya sekali lagi, tidak mampu meresap di dalam sanubari dan melayani perasaan sendiri. MALUUUUU..... Mungkin kerana terlalu memikirkan perasaan malu itu, sehingga ana lupa, apa kebaikannya aktiviti ini.

Abang Feysal mengaturkan aktiviti seterusnya iaitu, Tiup angin tiup. Ya, permainan klise yang sentiasa diadakan pada mana-mana aktiviti. Akan tetapi, tetap ada arahan tambahan yang menjadikan aktiviti ini lebih menarik dan hidup. Akhir sekali, aktiviti sebelum tidur, abang Suhaimi (mungkin lebih selesa jika dipanggil TUAN) mengambil giliran. Jujurnya ana lupa apa yang diperkatakan pada malam itu, mungkin kerana mengantuk sangat? Barangkali. Akan tetapi, malam itu adalah malam yang kurang bernasib baik apabila tuan Suhaimi naik angin kerana seorang pelajar lelaki menggunakan telefon bimbit ketika program. Padahnya, hp kami juga dirampas malam itu. Sekali lagi tidur lambat menahan  mata, menadah telinga mendengar semburan marah bercampur teguran darinya.

Hari seterusnya berjalan tanpa hp di sisi. Bagi ana hal ini, bukanlah suatu perkara yang besar, kerana ana tidak terlalu berhp. Sepanjang hari aktiviti kami di dalam kelas bersama kumpulan yang telah diasingkan malam tadi, selepas babak kemarahan tuan suhaimi. Kami juga dibekalkan sebuah lagu patriotik satu kumpulan dan lagu kami, KAU BOLEH. Dengan ini juga bermulanya kehidupan kami, makan bersama ahli kumpulan. Antara yang diperbincangkan di kelas adalah berkaitan perlembagaan negara. Sungguh, ana tidak pernah ambil peduli sebelum ini tentang perkara itu. Setelah di brain wash dengan abang fesi kami yang sangat hebat, iaitu abang feysal, kami mula berminat tentang selok belok pentadbiran dan memahami sedikit banyak tentang kerajaan Malaysia. Kami juga diberi pendedahan tentang asal-usul melayu, makna melayu mengikut perlembagaan dan sebagainya. Antara mesej yang terkesan di hati ana ialah. Apabila abg feysal menyatakan tentang ayat quran ;                                              يا أيها الذين ءامنوا إن جاءكم فاسق بنبإ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين
Yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman! Jika datang seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan." Hal ini disandarkan juga kepada politik apabila kita menghukum sesuatu perkara, hanyalah apabila kita mengetahui dasar sahaja. Walhal kita perlu mengkaji dahulu tentang kebenaranyya sedalam mungkin supaya kita tidak menganiaya orang yang tidak bersalah. Apa yang cuba dijelaskan kepada kami tentang fahaman politik turut disertakan dengan bukti-bukti dan juga bersandarkan perlembagaan Malaysia. Sepertimana yang telah didakwa oleh sebahagian pihak bahawa perlembagaan Malaysia ini bercanggah dengan Al-Quran dengan As-Sunnah, masih lagi belum diketemui. Mari kita bersama2 mengkaji, jika benar-benar wujud. Informkan kepada ana dan ana akan rujuk kepada abang fesi ana. Mereka juga tak mengharapkan kami percaya 100% dengan apa yang mereka kongsikan, bahkan mereka menuntut kami supaya mengkaji dan mencari sendiri, benar mahupun tidak.

Nampaknya, banyak lagi yang perlu dikongsi. Mungkin ini sahaja dahulu porkongsian bahagian pertama.

Friday, August 2, 2013

Jahil




Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Semakin menuntut ilmu Allah, semakin terasa banyak lagi perkara yang tidak diketahui. Ya Allah, betapa luasnya ilmu-Mu. Sebelum ini biasa ana terdengar ungkapan, "ilmu yang kita peroleh di dunia ini hakikatnya bagaikan setitis air di lautan". Ana kurang yakin dengan kata-kata tersebut, kerana bagi ana ilmu yang manusia telah capai adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Lihatlah teknologi dewasa ini, gah bukan? Apa sahaja yang kita inginkan sekarang ini segalanya di hujung jari. Tekan, petik, jentik, nah sudahpun menjadi milik kita. Akan tetapi, itu hakikatnya adalah pemikiran orang yang jahil seperti ana.

Tidak terfikir dek akal sebelum ini, bahawa segala ilmu yang kita peroleh hanya di planet yang bernama bumi sahaja, bagaimana pula dengan jutaan planet yang lain? bintang-bintang? bulan-bulan yang setia di sebahagian planet yang ditentukan? Allah, kerdilnya hamba-Mu ini. Entah di manakah aku pada pandangan-Mu ya Rabb. Kita juga tidak mengetahui ilmu masa akan datang, hanya mampu meramal tanpa ada sekelumit keyakinan bahawa ramalan itu pastinya berlaku. Dah nama pun ramalan. Begitu juga ilmu di alam ghaib atau alam roh. Allah ada berfirman: 'Dan mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang ruh, katakanlah bahawa ruh itu adalah urusan Tuhanmu, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit'. Kalam Allah ini menunjukkan tahap ilmu kita mengenali ruh bagaikan tiada kerana terlalu sedikit. Layakkah kita sebagai hamba-Nya ingin bermegah atau berbangga dengan ilmu yang setitik cuma?

Mengenangkan tentang kembali tajuk di atas, ana berasa gelisah dengan keadaan umat. Betapa ramai umat Muhammad sering mengeluarkan kenyataan tanpa ilmu. Lebih-lebih lagi jika berkaitan dengan ilmu agama. Tidak kalah juga mereka yang berdebat di medan facebook, sekadar menegeluarkan hujah rapuh yang bersandarkan kepada akal semata-mata, bukan berlandaskan ilmu mahupun al-quran dan as-sunnah. Mengenangkan perkara ini, ana ingin mendalami ilmu agama yang berkaitan dengan usul fiqh, kerana bagi ana, umat sekarang keliru dengan setiap perbuatan yang mereka lakukan, adakah ini mendatangkan dosa? Tidak kurang juga kepentingan usuluddin, akan tetapi hati ana memberontak bahawa usulfiqh yang lebih utama. Dengan itulah ana memutuskan untuk ke Mesir, supaya ana mampu untuk mempelajari dua perkara dalam satu masa, iaitu perubatan dan ilmu agama. Sekiranya Mesir itu bukanlah tempat yang terbaik bagi ana pada pandangan Allah, ana berharap suapaya sentiasa berdamping dengan mereka yang mendalami bidang ini.

Ana tak dapat nafikan, ana sangat jahil dengan ilmu agama. Terasa malu dan hina apabila soalan enteng yang diutarakan oleh orang luar berkaitan agama tetapi tidak mampu membalasnya. Hakikatnya, Allah memberikan kita banyak masa untuk kita pelajari dan mendalami ilmu-Nya. Hanya kita, sanggup atau tidak berjuang mendapatkannya. Ilmu Allah itu bukanlah tertakluk kepada ilmu agama semata-mata seperti pemahaman ramai orang. Akan tetapi ilmu Allah itu adalah segala jenis ilmu di alam ini bagaikan laut yang tidak bertepian. Subhana Allah, hebat sungguh kuasa-Mu, Ya Malik. Aku hamba-Mu.


Wednesday, July 31, 2013

ILDAS

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Alhamdulillah.. setelah sebulan di PULAS, kami bersiap siaga untuk sekali lagi mengisi ilmu di dada dalam konteks persiapan ke luar negara atau lebih dikenali persiapan ke timur tengah. Perjalanan memakan masa selama lebih kurang 3 jam cukup untuk kami merehatkan diri walaupun dalam keadaan bas yang cukup mampat, sendat, ketat, padat dengan barang-barang kami selama sebulan. Setelah tiba, kami didedahkan dengan aktiviti yang akan berlangsung di ILDAS. Secara rambangnya, aktiviti yang disiarkan di buku tentatif itu benar-benar mengejutkan kami. Dalam pemikiran kami, aktiviti di ILDAS nanti, pastinya lebih santai dan relaxing. Ternyata pemikiran kami meleset dek melihat ceramah yang berderetan sehingga berpuluh sesi banyaknya. Cuma tentatif hari terakhir yang mampu buat kami tersenyum. Ah.. Jauh lagi ni.. Suka mahupun tidak hari kami berjalan seperti biasa. Kata pepatah alah bisa tegal biasa, benarlah, tidaklah terlalu penat kami di sana, dan kami enjoy penceramah-penceramah yang ternyata aktif, sempoi, dan ceria!

Tak dapat dinafikan, dalam banyak-banyak ceramah di sana, ada juga yang membuatkan masa kami bersama mereka adalah seperti 'sleeping time'. Ah.. terasa berdosa apabila tewas dengan nafsu sendiri lalu tersungkur tidur di dewan kuliah itu. Apakan daya, mereka tak beri peluang untuk kami keluar ke refresh room supaya kami lebih fresh ketika ceramah sedang berlangsung. Ternyata insiden ana tertidur itu memberikan impak yang agak besar kepada rakan-rakan terutamanya ahli dorm ana sewaktu di PULAS, kerana mereka turut melawan nafsu kantuk. Tetapi tidak mengapa, mereka berjaya mengatasinya dan mencemburui ana yang tidak berapa nak sopan ini. Terkekek-kekek ana ketawa apabila mereka bercerita kembali situasi genting kekantukan mereka itu walhal ana terlena dibuai mimpi di dewan. Heh.. secara jelasnya tak patut dicontohi dan layak dijadikan sempadan.

Aktiviti di sana tidaklah terlalu banyak, kerana kehidupan kami di sana bagaikan hampir 24 jam disuap dengan ceramah. Walau bagaimanapun, waktu rehatnya adalah suatu yang menarik untuk dikongsi. Setiap petang kami dibenarkan untuk menggunakan segala prasarana yang terdapat di sana, antaranya adalah permainan ping-pong, badminton, basikal, sauna, gim(tak pasti ada yang menggunakannya atau tidak), futsal, bola.... dan sebagainya. Apa yang menjadi pilihan ana saban hari hanyalah basikal. Mungkin kerana ini yang paling mudah, dan tak berapa nak berpeluh. Bukannya ana tak suka berpeluh, tapi biasanya waktu itu, ana sudah pun berkhidmat diri. Oh, sebelum terlupa, makanan ILDAS juga antara yang menjadi penangan kami. Sudahlah makan lima kali sehari, itupun kami tertunggu-tunggu setiap kali waktu itu menjelang. Keenakannya, boleh tahan. Waktu sarapan agak menarik, di samping menu utama, menu tambahan juga wujud iaitu roti bakar disalut jem atau marjerin(layan diri). Kami juga dijamu dua jenis minuman. Tidakkah itu mewah buat kami? Jadi rasanya tidak keterlaluanlah jika ana sifatkan makanan di ILDAS sebagai 5 star(bagi pelajar).

Masa terus berlalu meninggalkan kami yang sering leka, eh? esok majlis penutup? Sekali lagi kami sebagai pelajar mengacarakan majlis dan begitu juga penolong biro protokolnya. Alhamdulillah kali ini biro protokol diasingkan dari teknikal. Kelainannya, ketua ana sudah berubah, terasa kekok sebentar lebih-lebih lagi apabila dia mengaku tidak tahu-menahu tentang protokol. Adush.. bagaikan satu bebanan berat terpikul di bahu. Beginikah apa yang dirasakan ketua ana sebelum ini? Sepatutnya ana lebih tenang dan matang kerana ana telah pun mengendalikan SEBUAH program sebelum ini. Mungkin sebelum ini ana lebih bergantung kepada ketua barangkali.. sebuah pengajaran. Kami bekerjasama dengan baik walaupun kekadang itu MC (Master of Ceremony) asyik menekan ana(perasan ana je kut). Ana mengaku, masih belum bagus... Saya Budak Baru Belajar, Kalau Salah Tolong Tunjukkan, Jangan DITEKAN-TEKAN sampaikan TERTEKAN. Merepek, takdelah sampai begitu sekali. Hiperbola sesekali ditengah malam yang indah ni.

Kerana ana sering ditekan oleh MC, ana pula memberi tekanan kepada ketua ana. Boleh dikatakan apa yang ditekankan oleh MC itu adalah tugas yang telah ana berikan kepada ketua untuk diselesaikan. Secara tidak langsung ana menjadi seperti reminder yang mengingatkan tugasannya berkali-kali melalui media massa telefon bimbit. Ana tahu agak annoying sebenarnya perbuatan ana ni. Maaflah ketua, kerana ana masih belajar menjadi pembantu yang baik. Majlis kali ini bagaikan lebih formal berbanding sebelumnya. Mungkin kerana melibatkan golongan yang berpangkat lebih tinggi(ye ke?). Tetapi, waktu itu, rasa tawakkal tahap a3la semasa majlis berjalan. حسبى الله و نعم الوكيل و نعم المولى و نعم النصير. Degupan jantung bagaikan tidak mahu berkurang velocity nya. Syukur, semuanya berjalan seperti yang dirancangkan. Setelah majlis tamat, kami berfotografi tidak rasmi sebagai kenangan di facebook. Mengharapkan waktu berlari semoga boleh berjumpa kembali di lain masa, bermesra kembali. بإذن الله, نحن سنلتقي.

Tuesday, July 30, 2013

Ujian Ramadhan

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Nampaknya hari ini ada sesuatu yang ingin dikongsi sehingga ILDAS terjatuh ke tangga kedua dalam entry post kali ini. Ujian..ujian..ujian.. sudah lama rasanya tidak diuji oleh Allah dengan ujian yang membina ini, iaitu ujian yang menyedihkan, menyakitkan ataupun melemahkan apabila tibanya sesuatu yang tidak diduga itu. Bukankah apabila kita diuji itu bermakna Allah masih ingat dan sayang akan kita? Alhamdulillah, syukur ya Allah. Sememangnya tajaan pelajar perubatan ke timur tengah adalah negara Mesir. Bumi para anbiya', bumi barakah, bumi yang sering disebut di dalam Al-quran. Allah.. Lindungilah rakyat Mesir juga pemimpin mereka, jauhkanlah keganasan, pergolakan, pembunuhan dan peperangan. Munculkanlah kedamaian, keamanan, keharmonian dan kasih sayang ya Rahman. Juga saudara-saudara kami di bumi islam yang lain ya Rahim, Syria, Palestin, Iraq, Rohingnya, di setiap tempat, setiap masa wahai Tuhan yang Maha Mendengar.

Secara tidak langsung, penerbangan atau pengajian kami ke bumi barakah itu ditunda ke suatu tarikh yang belum pasti wujud mahupun tidak. Kami didedahkan dengan rancangan JAIS seterusnya yang dikenali sebagai plan B, pagi tadi di Masjid Negeri Shah Alam. Hadirnya wakil KUIS dan UNISEL untuk memberikan taklimat di dalam tentatif, cukup mendebarkan hati bakal mahasiswa-mahasiswa mesir. Akhirnya, suatu keputusan tegar telahpun diputuskan, dan kami pelajar perubatan diberi pilihan untuk masih berada di bawah tajaan JAIS dan menuntut di UNISEL dengan pengkhususan foundation in science atau ke mana-mana ipt lain. Secara jelasnya peluang ipta sudah tertutup rapat bagi kami di kala waktu ini. Manakala pelajar dirasat atau pelajar jurusan agama, juga diberi pilihan samada ke KUIS atau ke mana-mana ipt lain di Malaysia. Mereka juga sering memberi harapan kepada kami bahawa sekiranya keadaan Mesir bertambah baik, kami masih berpeluang untuk meneruskan pengajian di sana dan JAIS tetap meneruskan dermasiswa. Akan tetapi, pendapat peribadi ana tidak beranggapan Mesir akan berubah aman dalam jangka masa terdekat walaupun itulah apa yang ana impikan. Walau apa sekalipun, kuasa Allah mengatasi segala-salanya bukan? عسى أن تكره شئ وهو خير لكم وعسى أن تحب شئ وهو شر لكم والله يعلم و أنتم لا تعلمون. Boleh jadi sesuatu yang kita benci itu adalah baik buat kita dan boleh jadi sesuatu yang kita suka itu buruk buat kita, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui. Memang aku tidak mengetahui apakah rencana-Mu yang satu ini ya Allah.. Dengan itu, tabahkanlah hatiku, kuatkanlah imanku redakanlah diriku dan orang disekelilingku, Ameen. Ayat ini pernah ana ungkapkan ketika sahabat ana ditimpa musibah. Sungguh, kita akan diuji dengan apa yang kita bicarakan. Entah mengapa ana masih menyimpan harapan untuk berada di bumi itu pada tahun ini selewat-selewatnya. Tidak yakinkah pada rencana-Nya? Bukan begitu... Cuma hati ini bagaikan sudah terbayang-bayang empunya hati berada di sana. Ish... Bagaikan kata-kata orang yang tidak yakin pada qada' dan qadar-Nya. Allah... إغفر ذنوبي... ='(

Tidak guna rasanya kita meratap sesuatu yang kita tidak pasti keadaannya. Dengan itu, ana akan cuba untuk tekadkan diri dan semangat supaya ana berjaya di dalam hidup dan di akhirat sana. Bumi mana? itu bukanlah penentu atau kayu ukur kejayaan seseorang. Selagi kita berusaha dan tidak lupa akan tanggungjawab kita terhadap-Nya, in sya Allah, kejayaan milik kita.. Allah, semoga bidang kedoktoran ini adalah bidang yang terbaik untukku ceburi, maka redalah aku, permudahkanlah urusanku. kuatkan semangatku untuk menjadi seorang doktor yang bertaqwa kepada-Mu dan mampu untuk membimbing hamba-Mu ke jalan yang diredai-Mu.

Munculnya ujian dan cabaran dalam hidup membuatkan hidup kita lebih diwarnai dan bermakna. Tanpanya, hidup kita bagaikan sesuatu yang klise berulang setiap hari tanpa ada sesuatu yang membina diri. Aku yakin pada-Mu, Allah. Bimbinglah hamba-Mu, Allah.

Monday, July 29, 2013

Alhamdulillah

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim..

Hmm.. bagaimana nak mulakan entri yang kedua dalam tahun 2013 ni, ya? Dimulai dengan keputusan SPM mungkin. Sekali lagi Allah menguji ana dengan keseronokan dunia ketika mendapat keputusan yang lalu. Alhamdulillah, walaupun bukanlah yang terbaik antara rakan-rakan, tapi itulah keputusan yang terbaik untuk ana dari-Nya. 10A 1B+ adalah nikmat yang cukup bernilai bagi ana. Sememangnya diri ini tidak layak sama sekali menerima keputusan sedemikian. Allah.. betapa baiknya Engkau. Semoga ini bukanlah istidraj buat diriku, ameen. Masa terus berlalu dan ana diterima JAIS atau lebih tepatnya LZS untuk diberikan dermasiswa penuh bagi menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan. Sekali lagi nikmat Allah yang tak terhingga jatuh menimpa ana yang tak terbilang kali ke berapa. Setelah melalui temuduga di dalam dwibahasa, iaitu bahasa melayu dan arab, disertai dengan ujian bertulis, seramai 30 orang pelajar telah diterima dalam jurusan yang sama dalam kawasan negeri Selangor. Kami kemudiannya melalui kursus persediaan bahasa arab selama sebulan sebelum berangkat ke timur tengah yang bertempat di Ulu Yam bermula 3 Jun sehingga 30 Jun. Wah.. betapa pengalaman yang diperoleh bagaikan mustahil untuk dilupakan. Pelbagai pengalaman pahit manis yang kami hadapi sehinggalah saat-saat akhir kami bersama. Kumpulan ana yang diingati dan dirindui ialah Al-Farra'. Gabungan pelajar perubatan dan pelajar ulum islamiah. Walaupun kami bukanlah yang terhebat tetapi kami adalah yang terbaik! Macam tema Restoran Khulafa': (we are not the first, but we are the best). Ustaz kami bukanlah warganegara, akan tetapi dari sebuah negara yang mungkin jarang-jarang didengar oleh penduduk Malaysia, Algeria. Tak dapat dinafikan pada awalnya kami bagaikan terpinga-pinga ketika ustaz mula membuka bicara, berhabuk. Bahasa arabkah ini? Tetapi masa membuatkan kami menjadi tegal biasa. Tidak begitu lama mengambil masa untuk kami memahami butir bicara ustaz. Ustaz Abdul Qadir seorang yang bertubuh tinggi, berbadan tegap, kulitnya putih dan berambut jarang, sering bersabar melayan kerenah kami kumpulan Al-Farra', lebih-lebih lagi apabila kami sekelas tidak memahami apa yang diterangkan. Memang hebat cabaran asatizah di daurah kerana kami DIHARAMKAN untuk berbicara di dalam bahasa lain selain dari bahasa  syurga ini. Oleh itu, mereka juga perlu menerangkan kepada kami didalam bahasa arab sahaja, sekiranya kami gagal untuk memahami, pelbagai tindakan yang dilakukan oleh mereka samada membuat gaya dengan bersungguh-sungguh (kekadang pun tidak faham juga), melukis, berlakon, dari paling kritikal menulis di papan putih makna perkataan di dalam bahasa lain yang mudah untuk difahami. Asalkan tak bercakap kan? Setiap hari di kursus ini kami melalui pelbagai jenis pertandingan kerana setiap hari kami tidak terlepas dari mengikuti petandingan yang berbeza. Kreatif sungguh asatizah kami, terutamanya Ustaz Dedek Fabrian dari Indonesia. Ana juga telah dilantik menjadi penolong ketua kelas sepanjang berkursus. Bersyukur dan bahagia mendapat ahli kelas atau kumpulan yang sangat positif dan bersemangat. Walaupun kemenangan bukan milik kami, tapi ana tetap berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan. Allah.. benarlah ana rindukan mereka. Ingin merasa kembali keadaan yang mustahil untuk berulang. Itulah kenangan. Kami juga diserikan dengan lagu-lagu arab yang menarik yang direka sendiri oleh asatizah kami, atau mungkin Ustaz Dedek seorang? itu ana kurang pasti. Antara lagu kegemaran kami adalah 'Bitsyah' yang bermaksud 'beca'. Lagu ini adalah satu-satunya lagu yang disertai suara penyanyi ketika mengalunkan lagu. Manakala lagu-lagu lain hanyalah irama yang disajikan. Apa yang lebih menarik, suara penyanyi yang menyanyikan lirik ini adalah suara kanak-kanak yang comel dan bersemangat. Hari terakhir kami di Pusat Asnaf Zakat Selangor atau dikenali sebagai PULAS merupakan hari yang cukup bersejarah bagi kami. Hari itu, kami sebagai pelajar menguruskan majlis penutupan selama sebulan berkursus di ILDAS. Dan ana ditugaskan sebagai penolong biro protokol dan teknikal. Satu tugasan yang tidak pernah terfikir untuk memikulnya dan zero pengetahuan tentang itu. Alhamdulillah ketua ana seorang yang berpengalaman dan kami berkerjasama dengan baik sehinggalah hari yang dinantikan atau... mendebarkan(bagi ajk protokol dan teknikal je kot). Persiapan kami berjalan dengan baik sehinggalah petang berlabuh(majlis penutup waktu malam), ana diserang sakit perut yang amat sangat sehinggakan rasa nak terpengsan menahannya. Tak mampu untuk makan malam kerana rasa bagaikan mustahil untuk bangun waktu itu. Waktu bermula hampir tiba, tapi ana masih belum membuat persiapan diri. Masih berperang dengan diri di atas katil untuk bangun menjalankan amanah. Akan tetapi, setelah إسهال terasa lebih lega dan kuat untuk bangun melihat keadaan majlis, cuma sesekali ketika berada di majlis, diserang kembali sakit itu... memang dahsyat azabnya. Alhamdulillah, ketua ana yang hebat berjaya menguruskan program dengan baik serta dibantu ajk-ajk. Tetapi, beberapa maklumat di tentatif berubah secara tiba-tiba, dan peserta juga semakin berkurang. Eh? apa yang terjadi? Setelah itu barulah ana mendapat tahu hampir separuh pelajar daurah terkena musibah keracunan makanan. Mereka mendapatkan rawatan di hospital kerana bilangan pesakit terlalu ramai dan ana mendapat tahu ada dalam kalangan ikhwah yang pengsan. Jadinya, analah orang pertama yang mengesan keracunan itu. Disebabkan kesakitan itu masih lagi menyerang sesekali.. Ana digesa oleh kakak senior yang sangat prihatin untuk turut ke hospital mendapat rawatan kerana esok, kami bakal bertolak ke ILDAS selama seminggu. Oleh kerana ana tidaklah berapa kritikal pada malam itu, ana hanya diberi ubat berbanding rakan-rakan yang agak kritikal dimasukkan air beberapa botol. Bersyukur mendengar kata, esoknya ana diserang lagi sakit itu, tetapi alhamdulillah ubat sudah berada di tangan. Sambung kembali majlis di PULAS, alhamdulilah syukur, majlis berjalan dengan lancar. Dan ana dihatar ke hospital sebaik sahaja tamat majlis bersama rakan-rakan yang lain. Tamatlah kisah kami sebulan di PULAS. In sya Allah, entri seterusnya keadaan di ILDAS pula.

Wednesday, March 20, 2013

Lemah~

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Sememangnya selepas bertahun lamanya (last entri 2011) admin kembali merangkak menulis. Mungkin tidak lagi secergas dahulu yang menghantar post mencapai setiap hari mungkin. Masa yang berlari tanpa henti memberitahu admin sudah pun keluar dari kepompong persekolahan.. Hati berbolak-balik memikirkan apa yang perlu dirisaukan sebenarnya? Menghadapi dunia luar yang mencbar? Berjauhan dengan keluarga? Seperti soalan klise yang berulang setiap tahun.. Keputusan SPMlah yang membuatkan diri ini tidak senang duduk hari demi hari.. Adakah diri ini akan diuji dengan kegembiraan seperti peperiksaan sebelumnya? Atau sebaliknya? itu.. Tuhan lebih mengetahui. Allah.. lemah hati ini sekiranya sesuatu yang menakutkan itu menjadi ujian buat admin pada esok hari. Mengapa mesti begitu? Tidakkah admin mengerti sebenanrnya apakah matlamatnya sebenarnya? Betulkan niat yang utama.. Allah akan permudahkan segalanya.. jika keputusan cemerlang itu bukan yang terbaik.. hati yang reda serta usaha yang membara untuk meningkatkan lagi prestasi bakal mengiringi slip keputusan. Terkadang rasa malu dengan tajuk blog admin.. Bagaikan tidak layak digelar sedemikian. Aduh.. bagaimana pula cara hendak mengubahnya? sudah lupa~ Doakan keputusan yang terbaik buat admin. Semoga admin reda dlam setiap apa keputusan yg Allah berikan. Ameen.

Wassalam.